







18 Ogos 2022
KOTA KINABALU: Graduan Pusat Latihan Pertanian Bersepadu (IATC) perlu menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di pusat itu untuk memulakan perusahaan pertanian sendiri berbanding mencari pekerjaan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata pelatih di IATC telah dilengkapi dengan pelajaran berharga, bukan sahaja mengenai pertanian tetapi juga keusahawanan.
“Ini kerana tujuan utama pusat ini adalah untuk melahirkan usahawan tani yang berkeyakinan, berkemahiran dan berdaya saing. Oleh itu, kursus-kursus telah dibina dan direka berasaskan kepada matlamat ini. Pelatih telah dikenal pasti dan dipilih berdasarkan potensi mereka sebagai usahawan tani.
“Ini bermakna pelatih yang tamat pengajian hari ini, sudah mempunyai bakat dan potensi untuk menjadi usahawan tani yang berjaya. Jadi, saya harap mereka tidak mensia-siakan bakat ini dengan menghadkan diri mereka sebagai pekerja sepanjang hayat,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen IATC ke-26 di Wisma Wanita di sini hari ini.
Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan mengucapkan tahniah kepada semua 49 graduan dan menggalakkan mereka untuk terus menambah pengetahuan mereka dengan kemahiran lain seperti pemasaran digital untuk memanfaatkan platform baharu seperti media sosial untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.
Beliau juga menggesa mereka untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan kewangan dan mengetahui syarikat-syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan dan agensi-agensi lain seperti Sabah Credit Corporation dan AgroBank yang boleh membantu mereka dalam membiayai projek mereka dengan pinjaman faedah rendah.
“Saya gembira kerana pelatih di IATC didedahkan dengan amalan pertanian moden seperti akuaponik dan hidroponik. Saya yakin ia bukan sahaja mendedahkan mereka kepada teknologi baharu, malah meningkatkan keyakinan mereka untuk melaksanakan projek serupa pada masa hadapan,” katanya.
Menurut Guru Besar IATC Jiffrin Mohamad, 49 pelatih telah menyertai lima projek inkubator berbeza yang telah menjana pendapatan kasar RM117,934.90, yang tertinggi sejak pusat itu memulakan projek inkubatornya pada 1996.
Dalam acara tersebut, Elfy Elniora Monis dinobatkan sebagai pelatih terbaik IATC 2021/2022 (keseluruhan), Ainelyn Anthony (pelatih terbaik – akademik), Norhalizah binti Mungkit @ Saidi (anugerah usahawan terbaik – industri tanaman), Md Azahari bin Ajit (anugerah usahawan terbaik – ternakan ikan air tawar), Mohd Affendy Al-Nizam (anugerah usahawan terbaik – ternakan dan pemprosesan telur masin), Lickfizol S Laitin (anugerah usahawan terbaik – penanaman tumbuhan, landskap dan fertigasi) dan Bryan Balasius (anugerah usahawan terbaik – pemprosesan makanan dan pengurusan kafe).
*Kenyataan akhbar oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Penglima Dr Jeffrey G Kitingan
G-Admin