JAWATANKUASA PEMBANGUNAN EKONOMI ORANG ASAL PERLU DIWUJUDKAN – Jeffrey

22 Ogos 2022

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan menghadiri majlis penutupan Hari Orang Asal Sedunia, forum yang membincangkan beberapa isu antaranya pemerkasaan orang-orang asal terutamanya wanita dari segi politik, ekonomi dan budaya.

Dr Jeffrey berkata dalam sidang akhbar hari ini, jawatankuasa pembangunan ekonomi orang asal perlu diwujudkan demi menjaga kepentingan pembangunan ekonomi orang asal kerana setakat ini hanya terdapat Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah yang fokus kepada adat dan bukan pembangunan ekonomi orang asal.

“Perlu diwujudkan mekanisme pembangunan ekonomi orang asal supaya dapat membawa mereka ke persada ekonomi perdana. Saya akan membawa perkara ini kepada kabinet kerajaan negeri.”

Beliau berkata hampir semua ahli kabinet kerajaan negeri hari ini terdiri daripada orang asal. Kerajaan mengharapkan dan menggalakkan penyertaan orang asal memainkan peranan dalam perniagaan terutamanya berasaskan makanan.

“Orang asal kebanyakannya berlatarbelakangkan sebagai petani. Beberapa forum telah diadakan dan satu daripadanya ialah Agriculture Transformation and Digitalization yang telah diadakan di Keningau.”

Para peserta telah dibawa melawat ke beberapa tempat perniagaan yang berjaya dan berasaskan pertanian. Institusi kewangan turut hadir untuk memberi maklumat dan khidmat nasihat tentang kaedah pinjaman kewangan kadar interest serendah 3% yang disalurkan oleh kerajaan melalui Agro Bank. Sementara itu Sabah Credit Corporation turut menjadi agen penyaluran kewangan daripada bank negara.

Kini Koperasi Pembangunan Desa (KPD) turut menyediakan enam Pusat Pemungutan Hasil Tani iaitu di daerah Kundasang, Kota Marudu, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, dan Telupid. Beliau mengharapkan bukan setakat enam sahaja tetapi setiap daerah memiliki Pusat Pemungutan Hasil Tani sendiri untuk rakyat, terutama sekali untuk orang asal di perkampungan menghantar hasil tani mereka. Dengan demikian orang asal mendapat harga yang lebih baik, tidak perlu bersusah-payah ke pasar-pasar dan dapat menjimatkan kos.

“Inilah antara aktiviti dan peranan kerajaan GRS untuk membantu rakyat kita di luar bandar terutama sekali orang asal.”

Jelasnya, kerajaan telah meletakkan syarat kepada semua pelabur bukan sahaja untuk melabur dalam perniagaan tetapi turut menyediakan mekanisme melibatkan orang asal sebagai petani kecil di samping mereka sebagai pelabur dan pemaju utama.

“Orang asal kebanyakannya mempunyai tanah tetapi mereka tidak menghasilkan secara ekonomi, dan pelabur boleh membantu memajukan tanah mereka. Sebagai contoh, pelabur sanggup memberi benih dan membeli semula hasil mereka.”

“Contoh lain ialah pelabur Sacha Inchi tidak mempunyai bekalan hasil tani yang mencukupi untuk diproses dan dieksport. Pelabur menggalakkan orang asal untuk membangunkan tanah mereka dengan menanam Sacha Inchi. Selepas enam bulan mereka boleh mulai menjual hasil kepada pelabur utama. Setiap bulan anggaran hasil ialah 600 kg, harga sekilo ialah RM5 yang bererti pendapatan sebulan ialah RM3,000 atau RM36,000 setahun. Sekiranya orang asal menanam 5 ekar maka pendapatan bulanannya ialah RM15,000.”

“Inilah cara kerajaan GRS cuba membantu, menaik taraf dan memperkasakan rakyat terutamanya orang asal.”

G-Admin

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started