Bagi 35 Peratus Kerusi Parlimen Kepada Borneo – Dr Jeffrey

KOTA KINABALU : Sabah dan Sarawak mesti mengekalkan dan memegang sekurang-kurangnya 35 peratus (35%) kerusi di Parlimen bagi melindungi hak dan keistimewaan Borneo.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, peratusan kerusi yang diperuntuk kepada Singapura suatu ketika dahulu seharusnya menjadi justifikasi untuk Sabah dan Sarawak untuk mempunyai lebih banyak kerusi.

Pada pilihan raya umum 1964, Sabah, Sarawak dan Singapura mempunyai 55 kerusi daripada 159 kerusi parlimen untuk gabungan 35 peratus daripada jumlah kerusi.

“DI SABAH, PERWAKILAN INI DIBURUKKAN LAGI DENGAN HAKIKAT BAHAWA MAJORITI KERUSI DIPEGANG OLEH PARTI-PARTI BERASASKAN MALAYA…

“Bolehkah kita memastikan hak perlembagaan kita akan terpelihara apabila kita tahu bahawa Ahli Parlimen wajib mengundi mengikut pendirian parti mereka dalam isu, walaupun ia menjejaskan Sabah dan Sarawak?“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata beliau menyokong pendirian kerajaan Sarawak untuk terus menuntut satu pertiga daripada kerusi parlimen seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dr. Jeffrey berkata STAR sentiasa menuntut perkara ini walau sebelum parti itu mula berkuasa dan akan terus berbuat demikian sehingga misinya selesai.

“Malah, ini juga telah dimasukkan dalam manifesto parti. Kami tidak akan berputus asa dalam tuntutan kami untuk hak ini dan pemulihan kuasa veto kita di Dewan Rakyat,” katanya.

Katanya, sebagai ahli Jawatankuasa Kerja MA63, beliau akan memastikan tuntutan ini diutamakan sebagai salah satu hak kritikal yang mesti dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started