MALAYSIA PERLU DI-MALAYSIA-KAN

18 September 2022

KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Ahli Parlimen P.180 Keningau dan ADUN N.39 Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan menghadiri Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Keningau bagi 2022 hari ini.

Dr Jeffrey berkata “Malaysia belum di-Malaysia-kan lagi” kerana Hari Malaysia hanya dirayakan pertama kali tahun ini di Malaya iaitu di Negeri Melaka. Selama ini hanya Sabah dan Sarawak yang merayakan Hari Malaysia. Hari Malaysia seharusnya dirayakan bersama di seluruh negara kerana ia adalah hari pembentukan Malaysia iaitu 16 September 1963.

Beliau menjelaskan tidak mudah bagi Sabah sampai ke tahap pencapaian hari ini iaitu dari segi memartabatkan hak-hak dan kedaulatan Sabah. Perjuangan bermula dengan memberitahu kepada rakyat tentang hak-hak Sabah, proses pembentukan Malaysia, Laporan IGC, 20 Perkara, aspirasi bapa-bapa kemerdekaan Sabah, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Malaysia.

Rentetan peristiwa bersejarah telah menunjukkan bagaimana Sabah kehilangan hak-hak setelah menjadi salah satu daripada empat negara bersekutu membentuk Malaysia. 30 tahun terakhir ini merupakan kesedaran dan kebangkitan yang pada mulanya dibendung dengan kuasa politik dan manipulasi media, tetapi perkembangan transformasi teknologi media telah memberi kemudahan sumber maklumat secara meluas kepada rakyat sehingga kesedaran dan kebangkitan tidak lagi dapat dibendung.

Beliau berkata Sabah ke arah mendapatkan kesemua hak-haknya kembali satu demi satu. Perubahan ke atas perlembagaan Malaysia telah mengembalikan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama taraf, dan dengan perubahan tersebut MA63 menjadi relevant.

Terlebih dahulu Pengerusi Penganjur YB Datuk Annuar Datuk Ayub berkata Sabah dan Sarawak berpandangan 16 September wajar diletakkan pada tempat dan kedudukan yang sewajarnya, kerana hakikatnya inilah tarikh sebenar pembentukan sebuah Negara Malaysia yang berdaulat. Pada tahun 2009 kerajaan telah mengisytiharkan 16 September sebagai Hari Malaysia dan cuti umum di seluruh negara.

Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Benedict Topin menegaskan bahawa perlu diingati tiga perkara yang terpahat di Batu Sumpah adalah janji keramat, dan dua perkara yang telah dilanggar di sisi perjanjian Batu Sumpah itu ialah dengan kewujudan agama rasmi di Sabah dan pengambilan Pulau Labuan.

Mantan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Mairin Idang @ Martin, mendorong orang-orang muda yang bakal menjadi pemimpin-pemimpin masa depan supaya membaca dan memahami MA63, 20 perkara, laporan IGC dan semua yang berkaitan untuk memperkayakan diri dengan ilmu kerana mereka adalah masa depan Sabah kerana Sabah memerlukan pemimpin-pemimpin bijak, patriotik dan berpendirian.

Turut hadir ADUN N.41 YB Datuk Annuar Datuk Ayub; Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap ADUN N.40 Bingkor, YB Robert Tawik; Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, YB Flovia Ng; Presiden KadazanDusun Cultural Association (KDCA) Sabah, Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan; Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson; Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Dr Benedict Topin; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, pemegang-pemegang adat, ketua-ketua kampung dan NGO.

Tetamu istimewa hari ini ialah cucu mendiang Datuk Gerald Samson Sundang, Patricia Chan ditemani ahli-ahli keluarga terdekat.

Ikuti sedutan video sidang akhbar Edisi Khas STARMEDIA hari ini, “TIGA PERKARA KONSTITUSI TERPAHAT DI BATU SUMPAH”.

G-Admin

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started