


KOTA KINABALU: 21 Februari 2024, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan menyambut kunjungan hormat Datin Anthea Lam dan rombongan sempena pelancaran rasmi buku luar biasa “A Guide to Market Fruits of Borneo” yang dikarang oleh mendiang Datuk Anthony Lamb, di Pejabat Sokid Villa hari ini.
Kitingan berkata buku “A Guide to Market Fruits of Borneo” adalah merupakan kesinambungan buku terdahulu “A Guide to Wild Fruits of Borneo” yang mana kedua-duanya merupakan bukti dedikasi sepanjang hayat Datuk Anthony terhadap flora dan pertanian Sabah.
“Beliau yang dikenali sebagai Datuk Tony tiba di Borneo Utara British pada tahun 1962, setahun sebelum pembentukan Malaysia, sebagai pegawai kerajaan British dan meneruskan kerjanya bersama kerajaan Malaysia dalam jabatan pertanian.
“Datuk Tony menghabiskan beberapa tahun di Stesen Penyelidikan Pertanian di Ulu Dusun kemudian berpindah ke Tenom dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Taman Pertanian Sabah di stesyen penyelidikan Lagud Seberang.
“Beliau juga merupakan Pengarah pertama Taman Pertanian Sabah dan memperjuangkan penubuhan muzium tanaman serta giat mempromosikan penanaman dusun buah-buahan asli dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Setelah bersara, beliau berkhidmat sebagai perunding untuk Jabatan Perhutanan, terutamanya berpangkalan di Herbarium Sepilok dan menyumbang sejumlah besar specimen tumbuhan.
“Datuk Tony merasa gembira menyaksikan Taman Pertanian Sabah berkembang menjadi tarikan pelancong yang popular dan dapat memperkenalkan pengunjung kepada flora yang menawan di Tenom.
“Kesimpulannya Datuk Anthony Lamb telah meninggalkan legasi luar biasa melalui karya bertulisnya dan sumbangannya kepada Sabah.
“Beliau dihormati dalam bidang botani, pertanian, dan pemuliharaan. Komitmennya yang tidak berbelah bahagi telah memberikan impak berkekalan kepada rakyat Sabah.
“Sungguh menggembirakan saya untuk melancarkan bukunya hari ini, sambil kita meraikan dan menghormati sumbangannya yang tidak ternilai ini,” katanya
Kitingan akhiri dengan ucapan terima kasih kepada hadirin, kepada penerbit buku, Datuk C.L. Chan dari Natural History Publications, dan penaja Encik Wewin Tjiasmanto dari Surabaya, Indonesia yang dengan sokongannya telah membolehkan penerbitan itu.
Turut hadir Serena Lamb (anak); Taman Pertanian Sabah, Edna; Pusat Penyelidikan Lagud Sebrang, Jain Linton; Jabatan Perhutanan Sabah, Elne Betrece, dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Anuar Ghani.
G-Admin