
26 Februari 2024
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen P.180 Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menyaksikan titah pertama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung Sultan Ibrahim, di majlis rasmi Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara menjaga adab dan tatatertib termasuklah menggunakan pertuturan yang sopan sepanjang persidangan Parlimen.
Baginda berkata keutamaannya ialah rakyat Malaysia justru berharap semua ahli yang berhormat menumpukan usaha untuk membela hidup rakyat, dan bukannya kepentingan parti politik atau diri sendiri.
Tegasnya, Baginda tidak akan melayan sebarang percubaan menggugat kestabilan politik negara dan menyeru semua pihak menerima kenyataan, dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk, serta menunggu sehingga pilihanraya yang akan datang.
Baginda turut menitahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara supaya mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.
“Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat semua adalah penggubalnya.
“Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan ini.
“Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain,” titah baginda.
Menurut Baginda, setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain.
Oleh itu Baginda menyeru kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
Selain itu baginda juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan raja, kaum dan agama.
“Saya berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan berharap ianya memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.
(Ikuti selanjutnya di https://www.youtube.com/watch?v=uVRcAKMnoA4)
Berdasarkan kalendar di laman web Parlimen, sesi ini akan berlangsung selama 19 hari bermula 27 Februari hingga 7 Mac dan diikuti oleh sesi penggulungan oleh kementerian selama empat hari bermula dari 11 Mac.
G-Admin