
KOTA KINABALU: Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri boleh membuat kesimpulan bahawa RM16 bilion adalah lebih besar darpipada 40 peratus jika kerajaan persekutuan tidak mendedahkan data kutipan hasil yang diperlukan.
Katanya kebanyakan menteri dan pemimpin kabinet negeri yang hadir di majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2024 semalam terkejut apabila angka itu diumumkan.
“Tiada seorang pun daripada mereka yang segera membetulkan Anwar kerana mereka masih cuba memikirkan dari mana angka itu diperolehi,” katanya
Beliau juga tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang 16 bilion yang dimaksudkan.
“Apa yang saya ingat, peruntukan untuk tahun ini ialah RM6.2 bilion yang mana jauh lebih rendah daripada 40 peratus hasil bersih kerajaan negeri,
“Mungkin dia telah menambah di sana sini termasuk kewajipan Persekutuan,” katanya.
Jelasnya 60% hasil bersih Sabah sememangnya diberikan kepada Persekutuan untuk melaksanakan kewajipannya termasuk pembangunan di Sabah, sementara itu 40% adalah hak kewangan Sabah.
“40% adalah kewajipan Persekutuan untuk mengembalikannya kepada Sabah,” katanya.
“Dan sekali lagi, mungkin dia tidak mendapat nasihat, salah maklumat atau apa. Jadi saya tidak salahkan dia. Tetapi jika ini adalah pemikiran Kuala Lumpur (kerajaan pusat), itu tidak betul.
“Kita telah beri 60 peratus hasil (dari Sabah kepada kerajaan persekutuan). Menjadi kewajipan mereka untuk memulangkan 40 peratus kerana ini adalah hak kita di bawah perlembagaan persekutuan. Kita perlu menyelesaikannya, kita perlu menyelesaikannya selewat-lewatnya pada 18 Julai,” katanya kepada media selepas melancarkan program STAR dan United Sabah Nasional Organisation (USNO) “Jelajah Beyond MA63” di Dewan Sri Putatan hari ini.
Mengenai gesaan Anwar kepada pemimpin Sabah supaya berhenti membangkitkan sentimen berkaitan hak negeri, Jeffrey, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, berkata isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dibangkitkan sehingga ia diselesaikan.
“Jika kita berhenti membangkitkan isu itu, maka mereka mula lupa tentang isu itu. Jadi, kita perlu terus membangkitkan isu itu sehingga ia selesai.
Ketika ditanya sama ada Jeffrey berpendapat kerajaan persekutuan ikhlas dalam memberikan hak yang dituntut oleh rakyat Sabah, beliau berkata sejarah tidak diperjuangkan dengan betul.
“Kenapa tunggu kita tuntut daripada mereka baru mereka dengar? Jika saya tidak masuk penjara, tiada siapa yang akan bercakap mengenainya kerana mereka takut. Sekarang semua orang berada di halaman yang sama.
“Adakah mereka ikhlas atau tidak? Sejarah menjelaskan kepada kita (tentang keikhlasan). Kita mahu mereka melakukan apa yang mereka katakan, dan melaksanakan MA63 dan perlembagaan persekutuan.”
Hadir sama Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin.
G-Admin