74 pengusaha di dalam kawasan Taman Banjaran Crocker mendapat Sijil Lot Komuniti

19 Disember 2023

KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan menyampaikan Sijil Lot Komuniti kepada 74 pengusaha di dalam kawasan Taman Banjaran Crocker Mukim Bunga Raya, Keningau hari ini.

Beliau berkata aktiviti penerokaan kebun di dalam kawasan mukim Bunga Raya, Taman Banjaran Crocker telah lama berlarutan. Taman-taman Sabah mengambil pendekatan mewujudkan hubungan “simbiotik” yang mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak.

Jelasnya Pemegang Sijil Lot Komuniti di dalam kawasan Taman akan mendapat faedah dan yang pertama, mempunyai jaminan hak bercucuk tanam di kawasan yang diberi sijil; kedua, Sijil Lot Komuniti boleh diwariskan kepada keluarga terdekat; ketiga, peserta tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Taman-Taman, 1984 selagi mematuhi Peraturan-Peraturan dan Syarat Sijil Lot; dan keempat, pemegang Permit boleh dan layak memohon bantuan subsidi dari mana-mana Jabatan atau agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Sementara itu pihak pengurusan Taman-Taman Sabah, pengawalan dan perlindungan kawasan Taman akan menjadi lebih berkesan dengan bantuan komuniti dari Mukim Bunga Raya.

“Saya juga ingin menekankan bahawa hubungan dan kerjasama dengan komuniti bagi melindungi sumber kawasan Taman juga dapat dipertingkatkan sama ada melalui program-program pemuliharaan, pelaporan kes-kes pencerobohan dalam kawasan Taman dan yang lebih penting penglibatan komuniti bagi menguatkuasakan Enakmen Taman-Taman 1984,” katanya.

Menurutnya lagi di samping itu ia dapat memberikan kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan perlindungan sumber kawasan Taman untuk generasi masa kini dan mendatang.

Kitingan juga berkata komuniti merupakan kumpulan terawal bertindak menghalang atau melaporkan kepada pihat pengurusan Taman sekiranya berlaku sebarang kegiatan bercanggah dengan Enakmen Taman-taman.

Katanya pemberian Sijil Lot Komuniti itu sejajar dengan Pelan Strategik Taman-Taman Sabah yang mana antaranya ialah mewujudkan keharmonian simbiotik antara Taman dengan semua pihak berkepentingan..

Taman-Taman Sabah bertanggungjawab melindungi Sembilan (9) kawasan Taman di seluruh Negeri Sabah dan salah satunya ialah Taman Banjaran Crocker yang mempunyai keluasan 139,919 hektar yang menyamai dua kali ganda Pulau Singapura. Taman itu merupakan salah satu daripada Taman daratan yang terbesar di Sabah, berdasarkan kepada pewartaan di bawah Enakmen Taman-Taman 1984.

Lebih menarik lagi, kawasan Banjaran Crocker dan sekelilingnya dengan keluasan 350,584 hektar telah diisytiharkan sebagai Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC) di bawah Program UNESCO ‘Manusia dan Biosfera (MaB).

Kitingan sekali lagi menyeru kepada semua komuniti kampung untuk bersama-sama memastikan Banjaran Crocker terus dilindungi dan diurus dengan pengurusan bertaraf antarabangsa.

G-Admin

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN TIDAK SAMA DENGAN HAK PERLEMBAGAAN SABAH

Hak hasil Sabah tidak perlu dirunding kerana sudah dirunding semasa pembentukan Malaysia – Kitingan

10 Disember 2023

KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan kerajaan persekutuan dalam memenuhi Perjanjian Malaysia 1963, terutamanya berhubung pulangan 40% hasil daripada negeri Sabah.

Presiden STAR Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti USNO Tan Sri Pandikar Amin berkata bahawa pemimpin persekutuan gagal memahami hak negeri untuk kerajaan persekutuan mengembalikan 40% hasil daripada Sabah di bawah Perlembagaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa peruntukan pembangunan dan hak hasil berperlembagaan 40% bukan perkara yang sama.

“Mereka perlu membaca Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC dan perlu tahu tentang tuntutan 20 Perkara, dan secara keseluruhannya, di manakah kita sekarang?” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelancaran GRS Jelajah Wanita Zon 2 di Sekolah Menengah Kian Kok hari ini.

“Hakikatnya 40 peratus (hak perolehan berperlembagaan) berbeza dengan peruntukan pembangunan.

“Malah dalam memperuntukkan bajet pembangunan, (kerajaan pusat) perlu melihat kepada tiga wilayah yang mana Sabah lebih besar daripada semenanjung Malaysia.

“Setiap tahun, apabila saya lihat bajet pembangunan, lebih 87 hingga 90 peratus peruntukan adalah untuk Semenanjung Malaysia, tetapi hanya kira-kira 12 hingga 13 peratus digabungkan untuk Sabah dan Sarawak.

“Mereka harus mengubah dasar itu kerana kita memerlukan lebih pembangunan berbanding Semenanjung Malaysia. Kita lebih berpotensi untuk dibangunkan berbanding Semananjung Malaysia yang hampir mencapai kemuncaknya.”

“Rakyat seharusnya tidak keliru perbezaan antara Peruntukan Pembangunan, peruntukan-peruntukan lain, dan Hak Hasil Berperlembagaan,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Sabah bersyukur kerana negeri itu menerima lebih banyak peruntukan pembangunan sebanyak RM6.6 bilion.

Kitingan berkata Putrajaya tidak boleh mencampur adukkan peruntukan pembangunan dengan hak perlembagaan ke atas hasil Sabah.

“Hak hasil adalah sangat asas dan sepatutnya tidak perlupun dirunding, kerana ia sudahpun dirunding semasa pembentukan Malaysia!” tegasnya.

“Perkara 11 dalam 20 Perkara, Para 24 dalam laporan IGC, dan di bawah artikel 112C dan 112D, dan schedule 10, ini adalah hak berperlembagaan dan langsung tidak ada keperluan perundingan.

“Sudah tentu, berapa banyak yang perlu dibayar, ia bergantung kepada dua perkara termasuk kedudukan kewangan kerajaan persekutuan dan keperluan kewangan negeri. Saat ini keperluan kewangan kerajaan negeri sangat-sangat kritikal!

“Infrastruktur kita sangat ketinggalan jauh, masalah air dan elektrik semakin menjadi-jadi.

“Bagaimana membangun potensi-potensi yang ada? Bagaimana membangun padi mendapatkan jentera kalau tidak ada wang?

“Kita tidak mengambil wang kerajaan persekutuan atau mana-mana negeri lain, ia adalah wang kita yang mereka kutip, mereka hanya perlu pulangkan berdasarkan formula.

“Formula sudah tersedia, tidak perlu mencipta formula lain kerana 40% telah mencatatkan apa yang harus dimasukkan.

Namun, kita terima bayaran interim sebanyak RM300 juta tetapi berharap dapat menyelesaikan isu hak 40% Sabah dalam masa setahun.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin berkata sepanjang tempoh 10 tahun beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat, terdapat penggubal undang-undang yang tidak tahu dan tidak faham mengenai dokumen dan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya penangguhan disebabkan ramai penggubal undang-undang tidak mengetahui butiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dengan hormat kepada sebahagian daripada mereka, mereka tidak tahu Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Suruhanjaya Cobbold, mahupun proses pembentukan Malaysia… sebab itu mereka tidak faham permintaan kita.

“Apabila kita membuat permintaan, sesetengah daripada mereka memandang kita dengan hairan. Jika mereka faham itu (dokumen dan proses), mereka akan menghormati pendapat kita.”

“Apakah yang sukar untuk mentafsir Perkara 112D, untuk memahami Jadual 10, untuk memahami 20 Perkara?

“Dalam perjalanan mencari fakta MA63, kami ke London. Saya terjumpa satu fail yang menyatakan pada masa itu, Sabah bertegas tidak berkompromi dalam isu cukai dan menegaskan hak itu adalah milik negeri,” tambahnya.

Terlebih dahulu Kitingan berkata Ketua Wanita GRS, Datuk Azizah Dun sangat berpengetahuan tentang perjuangan tersebut dan memperkasakan Wanita GRS dari peringkat akar umbi.

Azizah berkata, “Seperti dalam perjuangan kita selalu laungkan, rumah kita, kita jaga. Apakah maknanya? Mereka harus memahaminya dan ini dikatakan ‘empowerment’,”

Jelasnya lagi di peringkat kebangsaan penglibatan wanita dalam politik kurang daripada 15%, sementara itu Sabah mensasarkan untuk menaikkannya kepada 30%.

“Tetapi bukan itu sahaja yang kita lihat dalam perjuangan ini. Yang lebih penting adalah ‘Sabah First’, ‘rumah kita, kita jaga’ dan kita mahu orang Sabah menghayatinya tanpa mengira suku kaum, yang mana lebih daripada 30 etnik …Sayang Sabah. Sabah ini rumah kita, kita jaga, “ katanya.

G-Admin

Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dapat direalisasikan dengan kerjasama rentas kaum, bangsa dan politik – Kitingan

11 Disember 2023

KOTA KINABALU: Aspirasi SMJ adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, dan Sabah berada di landasan yang tepat dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Kitingan berharap supaya APPGM-SDG dapat meneruskan lebih banyak program-program penyelesaian di peringkat akar umbi dan menjadi agen perubahan kepada pembangunan wilayah Sabah.

“Pastinya ini semua hanya dapat direalisasikan dengan kerjasama dari semua pihak berkepentingan selaras aspirasi SDG ke 17, tidak kira latar belakang dan merentasi semua kaum, bangsa dan politik,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Program Pembangunan Kapasiti Rakan Kepada Solusi Wilayah Sabah 2023.

Beliau turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap matlamat program tersebut, yang mana menyediakan program pembangunan kapasiti kepada rakan pelaksana dan Solusi untuk memastikan projek di akar umbi yang dilaksanakan membawa impak lebih besar dan mampan kepada komuniti dan golongan sasar.

Selaku Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Kitingan berkata beliau akan sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada usaha berterusan APPGM-SDG.

“Sebagai ahli kerajaan negeri dan ahli parlimen, boleh dikatakan saya juga adalah sebahagian daripada APPGM-SDG,” ujarnya.

Jelasnya Malaysia komited kepada 17 matlamat yang merangkumi aspek kemanusiaan, kemakmuran, kebumian, keselamatan dan kerjasama, yang merupakan Matlamat Pembangunan Mampan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada tahun 2015, dan perlu dicapai pada 2030 iaitu tempoh tinggal 7 tahun dari sekarang.

“Kumpulan bi-partisan APPGM-SDG telah diberikan mandat oleh Parlimen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua ahli-ahli parlimen dan pihak berkepentingan agar aspirasi global ini dapat di lokalisasi di peringkat kawasan parlimen,” katanya.

Menurutnya setakat dari 200 hingga tahun 2023, sebanyak 97 projek Solusi di lebih 14 Kawasan Parlimen seluruh Sabah, dijalankan oleh lebih 54 Solusi yang terdiri daripada universiti awam antaranya UiTM dan UMS, bukan badan kerajaan, Koperasi, dan juga usahawan sosial.

Seperti yang dijalankan oleh NGO Pikos, Projek Solusi yang dijalankan merangkumi program penyelesaian isu air bersih, penjanaan pendapatan golongan B40, pemerkasaan wanita dan belia, kemahiran kepada golongan OKU, pendidikan kepada golongan terpinggir dan terpencil dan juga pembinaan pusat pembelajaran komuniti.

Sementara itu penghargaan seperti penganugerahan SDG Icon Leadership Award kepada Amran Jining, Dr Rizoh, Reef Check dan UCSF, dan beberapa rakan Solusi APPGM-SDG mendapat Anugerah Perdana Belia Negara menunjukkan usaha-usaha ini turut melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang cemerlang kea rah kesejahteraan wilayah Sabah.

“We need more people like you for our country. Congratulations!” ujarnya.

Kitingan yang juga adalah ahli parlimen P.180 Keningau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi APPGM-SDG yang juga ahli parlimen P.169 Kota Belud, Isnaraissah Munirah Bt Majilis @ Fakharudy yang bukan sahaja sentiasa membantu tetapi sentiasa berjuang di parlimen untuk hak-hak Sabah.

Terlebih dahulu Munirah berkata perkara utama yang membawa perkara maju ke hadapan dan lebih mampan (sustainable) ialah mengadakan lebih banyak kerjasama (collaboration) bukan sekadar dengan APPG-SDG sahaja tetapi juga dengan kementerian-kementerian yang berkaitan.

G-Admin

Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) organisasi kecil membantu masyarakat

KOTA KINABALU: 8 Disember 2023, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menghadiri Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) sempena hari jadi ke-70 Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin diiringi Yang di-Pertua Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni di Grand Ballroom The Magellan Sutera Harbour Resort hari ini.

Terlebih dahulu Timbalan Ketua Menteri Sabah menjunjung kasih atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berangkat hadir ke majlis itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri berkata walaupun Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) sebuah organisasi kecil ia telah melaksanakan pelbagai aktiviti untu k membantu masyarakat termasuklah semasa keadaan mencabar sepanjang pandemic Covid-19.

“Usaha anda dalam mengangkat nasib mereka yang memerlukan adalah terpuji. Anda telah mendekati anak-anak yatim, belia dan warga emas, orang buta dalam masyarakat kita, belia yang menganggur, penduduk kampung dan masyarakat dengan menyumbangkan bantuan kewangan, makanan, perkhidmatan kesihatan, pakaian, kasut dan bahan di kawasan pedalaman dan juga dalam memberi peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik untuk membantu mereka bergerak ke hadapan dalam kehidupan mereka. Dengan melaksanakan rancangan, MDNS telah benar-benar menunjukkan kuasa komitmen, dedikasi dan kerja berpasukan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan MDNS tidak mungkin tercapai tanpa visi, komitmen dan kerja keras ahli-ahlinya.

“Saya memuji setiap orang atas usaha gigih dan dedikasi dalam membuat perubahan ke dalam kehidupan mereka yang memerlukan. Semangat dan daya tahan anda telah menjadikan anda antara banyak NGO yang telah bangkit untuk meletakkan asas bagi masyarakat yang lebih inklusif dan makmur,” katanya.

Jelasnya Kerajaan Negeri menghargai komitmen MDNS dan juga organisasi yang sehaluan dalam melengkapkan usahanya.

“Saya berharap usaha MDNS membuat perubahan akan terus memberi impak yang berkekalan ke atas masyarakat yang lebih luas. Impak positif yang anda bawa sudah tentu menjadi pelengkap kepada aspirasi Kerajaan untuk menambah baik dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di bawah aspirasi pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kerajaan,” katanya.

Menurutnya MDNS sedang mewujudkan projek perintis pertanian organik di bawah Tanggungjawab Sosial Komuniti (CSR) untuk membantu penduduk di Kg Purak, Papar mempelajari dan memperoleh kemahiran dalam pertanian organik.

Ia bukan sahaja menjadi aset kepada mereka tetapi akhirnya akan membantu mereka menjana pendapatan dan sara diri.

G-Admin

Empangan Hidroelektrik Ulu Padas bernilai 4 billion dijangka siap pada tahun 2027

7 Disember 2023

TENOM: Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor menghadiri Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kg Kungkular, Tenom hari ini.

Pengerusi Sabah Energy Corperation Datuk Anuar Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.41 Liawan berkata Empangan Hidroelektrik bernilai RM4 bilion di Ulu Padas yang akan dibina dan dijangka siap pada 2027 itu merupakan salah satu penyelesaian jangka panjang mengatasi masalah kekurangan bekalan elektrik dan air.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap ADUN N.40 Bingkor Datuk Robert Tawik, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, gamuda berhad, Pengarah Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd., dan para pemimpin Sabah yang lain.

G-Admin

Design a site like this with WordPress.com
Get started