SABAH MENGALU-ALUKAN PELABUR MAJU DAN BERIMPAK TINGGI

5 Disember 2023

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited untuk mengalu-alukan lebih ramai pelabur berimpak tinggi dari China dan negara maju lain. Pelabur ini penting untuk pertumbuhan ekonomi Sabah dan pembangunan mampan. Kami berdedikasi untuk menjadikan Sabah destinasi menarik untuk pelaburan. Fokus kami adalah untuk memudahkan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan memastikan pembangunan mampan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian dalam ucapan rasmi semasa Forum Kerjasama One Belt One Road, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Terlebih dahulu Kitingan berkata Inisatif One Belt One Road (OBOR) China, yang juga dikenali sebagai New Silk Road (NSR) telah berubah sejak kewujudannya. Selain telah melaksanakan projek infrastruktur penting ia juga telah membawa menfaat ekonomi yang ketara di wilayah New Silk Road atau Jalan Sutera Baharu.

Ia telah memudahkan pertukaran idea, kepakaran dan kemahiran budaya, teknologi, komersial dan pendidikan. Kesan dan faedah daripada inisiatif OBOR adalah luas dan menggerunkan, menandakan satu peristiwa penting dalam pembangunan dan kerjasama global.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu dan menurut MIDA pada 2022, jumlah dagangan telah melebihi RM930 bilion. Ini menjadikan peranan China penting, terutamanya melalui Belt and Road Inisiatives (BRI). Inisiatif sedemikian adalah kunci untuk membantu Malaysia mencapai wawasan kemakmuran bersama menjelang 2030.

“Oleh yang demikian, sukacitanya saya akui kepentingan FORUM KERJASAMA ONE BELT ONE ROAD ATAU JALAN SUTERA BARU BERKUALITI TINGGI ini tepat pada masanya. Tumpuannya ialah untuk menggalakkan penglibatan Sabah dalam membina bersama dan menyumbang kepada pembangunan komuniti China-Malaysia yang berkongsi nasib adalah terpuji dan penting.

Jelasnya lokasi Sabah yang strategik di sepanjang laluan Laluan Sutera (Silk Road) Maritim China menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk sumber semula jadi yang kaya, iklim yang menggalakkan, dan kemahiran berbilang bahasa rakyatnya.

“Menurutnya faktor-faktor itu menjadikan Sabah mempunyai kedudukan yang unik untuk berintegrasi dengan negara-negara yang mempunyai pelbagai latar belakang bahasa, budaya dan adat.

Katanya kemahiran memanfaatkan kelebihan itu memungkinkan Sabah bersedia untuk menjadi hab logistik yang penting dan pemain utama dalam laluan China Maritime Silk Road.

“Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan kedua-dua ASEAN dan rantau BIMP-EAGA,” ujarnya.

Tambahnya lagi peluang yang dibentangkan di forum Third Belt and Road untuk International Cooperation, di Beijing pada 18 Oktober 2023 yang lalu, menandakan ulang tahun ke-10 BRI, menawarkan potensi besar untuk pembangunan masa depan Sabah.

Menurutnya lagi Sabah diperkayakan dengan pelbagai sumber di darat, laut dan udara. Sektor Pertanian, Perikanan, Industri Makanan, tenaga suria dan hijau, Minyak & Gas, Pelancongan, Sosial, Pendidikan dan Kebudayaan memberikan peluang pelaburan yang menarik.

“Sektor-sektor ini amat menarik minat pelabur China yang terkenal dengan teknologi, kepakaran dan sumber termaju mereka,” katanya.

Sementara itu di Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan terdapat peluang pelaburan besar terutamanya dalam penanaman padi dan penternakan khinzir.

“Kita memberi tumpuan untuk mencapai sara diri dan meningkatkan keterjaminan makanan. Kementerian mengalu-alukan pelabur berimpak tinggi dengan teknologi dan sumber proprietri,” katanya.

Sehubungan dengan itu Kerajaan Sabah komited untuk memudahkan dan menyokong pelabur berimpak tinggi. Kita sasarkan untuk menggerakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), yang membentuk lebih 95% daripada pertubuhan perniagaan Sabah. Ini termasuk melibatkan diri dengan graduan baru, belia, pekebun kecil, petani, dan usahawan.

“Matlamat kita adalah untuk bekerjasama dengan pelabur ini dalam mewujudkan komuniti China-Sabah yang berkongsi nasib. Ini sejajar dengan perkembangan dan peluang terkini di bawah Belt and Road Inisiatives (BRI). Usaha kerjasama kita tertumpu kepada mewujudkan peluang pekerjaan dan memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan di negeri ini,” katanya.

Katanya pembukaan kemudahan Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd telah diraikan pada 31 Oktober 2023.

Katanya baru-baru ini Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd iaitu pelaburan penting berbilion ringgit oleh China Kibing Group yang terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah dibuka secara rasmi pada 31 Oktober 2023.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 440,000 tan kaca solar setahun menjadikan ia pemain utama dalam industri kaca solar Malaysia, dan juga penyumbang utama sektor tenaga boleh diperbaharui, serta mewujudkan 1,300 pekerjaan yang mana 80% daripadanya terdiri daripada penduduk Sabah.

“Perkembangan ini adalah bukti teknologi canggih China, bukan sahaja dalam pembuatan tetapi juga dalam bangunan dan infrastruktur. Banyak bangunan tinggi moden dan hijau di Sabah, termasuk Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), bangunan tertinggi di Pulau Borneo, Menara Berkembar Jesselton 56 tingkat, dan Coral Bay, sebuah kondominium mewah 460 unit dalam Sutera Harbour Resort, dibina menggunakan kemahiran, teknologi dan kepakaran syarikat pembinaan China. Projek-projek ini menyerlahkan sumbangan penting China kepada landskap seni bina Sabah,” katanya.

Menurutnya dengan pelancaran rasmi pelaubuhan laut dalam Palm Oil Cluster Industrial (POIC) di Lahad Datu, keupayaan pengendalian kargo Sabah telah berkembang dan tidak lagi hanya bergantung kepada pelabuhan Sepangar, Kota Kinabalu.

“Ini merupakan perkembangan penting, kerana POIC telah menjalin perkongsian strategik dengan Kumpulan Pembangunan Luar Negara Pelabuhan Shandong China. Kerjasama ini menghubungkan taman perindustrian Sabah kepada 313 laluan perkapalan di seluruh dunia, termasuk 173 laluan antarabangsa dan 113 laluan serantau,” katanya.

Kitingan menjelaskan bahawa Sabah harus memanfaatkan peluang untuk meningkatkan perdagangan dan menarik lebih banyak talian perkapalan dengan memanfaatkan Silk Road Maratime dari China dan negara-negara ASEAN melalui Selat Lombok-Makassar yang dalam.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita merancang untuk melaksanakan dasar perkapalan yang menarik dan mesra perniagaan. Inisiatif ini akan mengoptimumkan keupayaan baharu kita dan memanfaatkan lokasi strategik kita,” katanya.

Kitingan berharap khadiran pakar dan cendikiawan BRI yang terbilang dari China, Singapura, Malaysia dan negara-negara lain akan memperkayakan Forum dengan mengemukakan idea-idea yang jelas dan cemerlang, sekaligus mencari pendekatan praktikal, cadangan membina yang boleh diambil tindakan.

“Kita berhasrat untuk menggunakan pengetahuan ini untuk meningkatkan peranan Sabah dalam membina bersama komuniti yang berkongsi nasib dengan China dan Malaysia. Kerjasama ini adalah kunci kepada pembangunan dan kemakmuran bersama,” ujarnya.

Beliau akhiri dengan ucapan terima kasih kepada Persatuan Penyelidikan Laluan Sutera Maritim Malaysia dan Persatuan Penyelidikan & Kemajuan Laluan Sutera Maritim Sabah kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan Forum tersebut tepat pada masanya untuk komuniti perniagaan berbahasa Inggeris, GLC dan penjawat Awam untuk kesedaran dan pemahaman yang lebih baik tentang tawaran BRI dan peluang-peluang untuk Sabah.

G-Admin

KERAJAAN PUSAT TIDAK MENGHORMATI PERLEMBAGAAN DAN PERJANJIAN MALAYSIA

23 Oktober 2023

KUALA LUMPUR: Hasil 40% adalah duit Sabah, bukan duit Persekutuan ataupun dari negeri-negeri yang lain. Maka Rakyat Sabah ingin tahu, apa sebab Kerajaan Pusat tidak menghormati Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia selama ini?

Ahli Parlimen P1.80 Keningau Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kitingan berkata Perdana Menteri ke sepuluh telah memberi jaminan supaya melaksanakan MA63 dengan penuh tetapi sehinga hari ini 40% hasil bersih belum lagi dikembalikan kepada Sabah. Pengembalian hasil bersih 40% dari segala hasil yang dikutip oleh Persekutuan dari Sabah adalah termaktub dalam Perlembagaan.

“Perlembagaan harus dihormati kerana setiap wakil rakyat, setiap menteri, telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan. Hasil 40% ini bukan RM26.7 juta, bukan RM125 juta dan bukan RM300 juta tetapi berbilion!,” tegasnya.

Beliau memberi contoh; tahun lalu Petronas mengaut keuntungan dari Sabah RM30 bilion. Cukai kutipan dari Sabah RM6.5 bilion, Kastam RM2.6 bilion dan RM2 bilion merupakan 5% yang Kerajaan terima daripada minyak dari Sabah.

Menurutnya jumlah tersebut (RM41 bilion) belum termasuk hasil-hasil daripada agensi-agensi yang lain seperti JPJ, dan syarikat-syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur tetapi menjalankan perniagaan di Sabah.

Jelasnya hasil 40% daripada RM41 bilion tidak kurang daripada RM16.4 bilion setahun iaitu jumlah hak Sabah yang tidak diberikan kepada Sabah.

“Jadi, peruntukan RM300 juta untuk Sabah Sarawak masing-masing dalam belanjawan 2024 ini memang mengecewakan warga Sabah dan Sarawak,” tegasnya.

Beliau menegaskan lagi bahawa RM300 juta belanjawan 2024 itu boleh diterima sebagai bayaran interim semata sementara masalah dan tuntutan 40% haruslah diselesaikan secepat mungkin kerana Sabah telah terlalu lama menunggu selama 60 tahun untuk diselesaikan.

Kitingan memperingatkan bahawa kegagalan Kuala Lumpur untuk mengembalikan hasil 40% hanya menambahkan kemarahan dan keazaman Rakyat Sabah untuk lari dari Malaysia.

“Dulu 60% (rakyat Sabah) nak berpisah tetapi menurut mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Harris Salleh, dia berkata “…80% sekarang sekiranya ada pungutan suara.”,” katanya.

Sehubungan dengan itu Pakatan Harapan dan Sabah Law Society telah mengambil tindakan mahkamah terhadap Kerajaan mengenai hasil 40% ini.

Sementara itu terdapat kes mahkamah oleh NGO SABAR atau Sabah Action Body Advocationg Rights mengenai pengisytiharan Akta Pelantar Benua 1966, yang menghadkan sempadan Sabah Sarawak kepada 3 batu neutika.

Menurutnya kedua-dua kes tersebut membuktikan tahap kekecewaan atau ‘frustration’ warga Sabah sehingga perlu mengambil tindakan mahkamah.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa Rakyat Sabah tidak akan menerima lagi sekiranya hasil bersih 40% ini dilengah-lengahkan lagi dan tidak dibayar,” katanya.

Kitingan memberi cadangan untuk memudahkan proses pembayaran balik hak kewangan 40% iaitu Sabah mengutip terus dari sumber-sumber mungkin secara berkala setiap tiga bulan, atau membuat satu mekanisme berasaskan 40% seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

G-Admin

Ahli ahli Dewan Undangan Negeri selepas selesai mesyuarat petang kelmarin

Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Bingkor YB Datuk Robert Tawik sempat bersalaman dengan YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor Ketua Menteri Sabah selesai Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 petang tadi.

Turut sama saling mengucapkan tahniah dan syukur ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan Sabah YB Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah YB Datuk Flovia Ng.

PENGAMBILALIHAN PENGURUSAN SAIP BERTUJUAN MENTANSFORMASIKAN HALA TUJU SAIP KEPADA SEBUAH ENTITI YANG KOMERSIAL

1 Disember 2023

KOTA KINABALU: Pengalihan Pengurusan Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) merupakan perancangan Kerajaan Negeri dalam mentransformasikan hala tuju SAIP kepada menjadi sebuah entiti yang komersial.

Majlis Menandatangani Perjanjian-Perjanjian di antara pihak SEDIA, IDS Sabah dan SEDCO, dan CAIQ Biosecurity Sdn Bhd telah berlangsung dengan jayanya di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency, Kota Kinabalu hari ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya SEDIA, IDS dan SEDCO dalam usaha memastikan pengambilalihan Pengurusan SAIP dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dalam ucapannya yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffry G. Kitingan, beliau menjelaskan bahawa usaha pengambilalihan Pengurusan SAIP adalah merupakan perancangan Kerajaan Negeri yang bertujuan mentransformasikan hala tuju SAIP untuk menjadi sebuah entiti yang komersial.

Dengan ini Kerajaan Negeri kini sudah memasuki fasa peralihan pengurusan kepada agensi yang dapat memainkan peranan untuk mengkomersialkan SAIP.

“Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada SEDCO serta Pengurusan SEDCO kerana menerima sahutan Kerajaan Negeri untuk mengambil dan meletakkan SAIP di bawah SEDCO meskipun industri agro bukan salah satu sektor perniagaan utama SEDCO,” katanya.

Menurutnya SEDCO sudah berada di persada ekonomi negeri sejak tahun 1971 dan kini sudah memainkan peranan dalam sektor-sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan dan pembangunan sosio ekonomi dalam masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

“Malahan SEDCO adalah perintis yang terlah mengevolusikan ekonomi daerah-daerah kecil dan terpencil dengan pembinaan rumah-rumah kedai serta lot-lot komersial mampu milik,” katanya

Peralihan SAIP ke bawah SEDCO menjadikan agrotani sebagai perniagaan portfolio baharunya yang tetap akan menjadi perniagaan yang mampan dan berdaya maju kerana SEDCO telah banyak membantu Kerajaan memacu ekonomi negeri ke tahap yang membanggakan.

“Dengan termeterainya perjanjian ini, maka SEDCO akan dapat bergerak ke hadapan dan memastikan SAIP ditransformasi menjadi sebuah entiti komersial yang mandiri dan mampan. Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk menjadikan SAIP sebagai salah satu lagi pemacu ekonomi di negeri ini,” katanya.

Selain itu Ketua Menteri berkata pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memasuki tahun kedua dalam pelaksanaannya, pada tahun ini sudah mula membuahkan hasil.

“Ekonomi negeri telah mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan penguncupan 9.2 peratus pada tahun 2020.

“Ini mencerminkan bahawa Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ telah berupaya untuk mendorong negeri Sabah meningkatkan momentum pertumbuhan positif pada kadar yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya lagi dalam sektor Pertanian, pelan ini memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Program Komoditi Tanaman pada tahun ini, dengan memberi tumpuan kepada penanaman buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman singkat masa seperti jagung manis, halia dan keladi serta tanaman industri, khususnya kopi dan kelapa.

Menurutnya program tersebut bertujuan mengukuhkan jaminan bekalan makanan dengan aktiviti pertanian menggunakan teknologi terkini bagi mengeluarkan hasil tanaman yang tinggi dan berkualiti.

Fokus program yang dimaksudkan termasuklah meningkatkan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dalam tempoh yang singkat dan tahan daripada serangan penyakit melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D) berinovasi tinggi.

Jelasnya melalui program itu, peniaga agrotani tempatan dapat menjadikan pertanian sebagai punca pendapatan tinggi dan secara tidak langsung Kerajaan telah dapat membantu mengeluarkan rakyat Sabah dari kepompong kemiskinan.

“Maka adalah diharapkan dengan menggalas tanggunjawab yang baharu dalam sektor agro, SEDCO dapat membantu menjadi pemangkin dalam meningkatkan bekalan makanan di sabah.

“Ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam Belanjawan negeri 2024, untuk terus meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian untuk memastikan tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) semua bekalan bahan makanan terus meningkat,” katanya.

Menurutnya lagi dengan fasiliti di SAIP, SEDCO boleh memberikan tumpuan terhadap menghasilkan produk-produk farmaseutikal melalui R&D menggunakan tanaman herba tempatan serta penghasilan produk makanan kesihatan.

Jelasnya kedua-dua produk tersebut akan dapat membantu dalam meningkatkan skala bisnes para peniaga di Sabah bukan sahaja bagi pasaran tempatan, tetapi juga untuk pasaran antarabangsa.

“Saya mahu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) yang memainkan peranan besar dalam menangani bekalan dan keselamatan makanan negeri Sabah, supaya dapat menjalinkan kerjasama yang jitu dan utuh dengan kementerian-kementerian dan agensi lain untuk menghebatkan lagi hasil dan kepelbagaian pemakanan melalui agrotani, “ katanya.

Hajiji akhiri dengan ucapan tahniah kepada SEDIA, IDS, SEDCO dan CAIQ, semoga usaha itu akan terus berjaya dalam memperkasa ekonomi dan kesejahteraan Sabah dan rakyatnya.

G-Admin

Design a site like this with WordPress.com
Get started