
KOTA KINABALU | 1 Ogos 2024
Adalah mustahak istilah “Native Sabah (Orang Asal Sabah)” atau “Anak Negeri Sabah” diguna pakai dalam dokumen rasmi kerajaan untuk mewakili semua orang asli di negeri kita.
Penggunaan semasa istilah “lain-lain” bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak menghormati kerana ia gagal merangkumi kekayaan kepelbagaian dan kewujudan orang asal Sabah dalam masyarakat, sekaligus melemahkan/menjejaskan kedudukan mereka dalam naratif budaya dan sejarah Malaysia, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam satu kenyataannya hari ini.
Kitingan menjelaskan bahawa istilah “Momogun” dan “Kadazandusun,” walaupun diiktiraf secara meluas, tidak cukup inklusif.
“Kedua-dua istilah itu terutamanya menggambarkan kumpulan Dusunik, Murutik, dan Paitanik, tetapi tidak mewakili komuniti pribumi penting lain seperti Bajau, Bisaya, Kedayan, Irranun, dan lain-lain lagi. Kekurangan keterangkuman ini berisiko mengasingkan kumpulan ini, membuatkan mereka berasa diabaikan dan terpinggir,” katanya.
Jelasnya lagi penggunaan kata “lain-lain” secara berterusan adalah satu penghinaan terhadap maruah orang asli Sabah.
“Ia adalah satu istilah yang mengurangkan kekayaan dan kepelbagaian budaya kita kepada satu pemikiran yang mengkategorikan kita sebagai ‘orang lain-lain’ di tanah air kita sendiri. Ini tidak boleh diterima. Kita rakyat Sabah bukan “lain-lain”; kita adalah sebahagian daripada Malaysia yang aktif menyumbang kepada kekayaan budaya dan kemajuan sebagai sebuah negara.
“Oleh itu, saya tegas menyokong penggunaan “Native Sabah (Orang Asal Sabah)” atau “Anak Negeri Sabah.” Istilah ini bukan sahaja inklusif tetapi juga berasaskan undang-undang, ditakrifkan dalam Perkara 161A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan, dan Perkara 41(10) Perlembagaan Negeri. Ia selarass dengan Ordinan Tafsiran Sabah (Definisi Orang Asal), menyediakan asas undang-undang dan kaedah terhormat untuk mengiktiraf semua orang asal di Sabah.
Jelasnya kepenggunaan “Native Sabah” atau “Anak Negeri Sabah” bukanlah sekadar istilah; ia adalah soal penghormatan, pengiktirafan, dan perpaduan. Ia adalah satu langkah ke arah memastikan setiap komuniti orang asal di Sabah berasa dikenali, dihargai, dan disertakan. Perubahan ini adalah penting untuk memupuk Sabah yang lebih padu dan bersatu, di mana semua orang asal diiktiraf sebagai bahagian yang sama dan penting dalam identiti dan masa depan negeri.
Kitingan menyeru semua agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, dan rakyat Sabah untuk menyokong keperluan perubahan itu.
“Marilah kita bersama-sama menghormati kepelbagaian dan kekayaan sebenar orang asli negeri kita. Sudah tiba masanya untuk bergerak melangkaui klasifikasi yang lapuk dan tidak menghormati, serta menggunakan bahasa yang benar-benar mencerminkan identiti dan nilai kita. Penerimaan “Native Sabah” atau “Anak Negeri Sabah” merupakan langkah penting ke arah matlamat ini,” katanya.
G-Admin