MA63 – 11 ISU SELESAI, 29 DALAM PERBINCANGAN – Kitingan

KUCHING: Julai 27, 2024 – Kerajaan Sarawak dan Sabah kekal teguh dalam rundingan mereka dengan Kerajaan Persekutuan, dalam usaha memenuhi peruntukan yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam syarahannya yang bertajuk ‘Status of Negotiation on MA63’ yang berkaitan dengan “The Dreams and Visions of the People of Borneo States,” dalam program The Borneo States Symposium, di Muzium Budaya Borneo hari ini berkata 11 isu selesai sementara 29 masih dalam perbincangan setakat 28 Mei 2024.

Pencapaian utama termasuklah Penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Sarawak, Penyerahan Kuasa Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitian kepada Sabah, Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2).

Selain itu, pemberian Kuasa (empowerment) mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut Dalam kepada Sabah dan Sarawak, dan, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).

Sementara itu Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 juga telah dipinda untuk memasukkan wakil dari kedua-dua negeri sebagai anggota tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas kepada Sabah.

Seterusnya, Pentadbiran Kehakiman di Sabah dan Sarawak: Penurunan kuasa kepada Badan Kehakiman Sabah dan Sarawak, Bidang Kuasa Hakim Besar Mahkamah Sabah dan Sarawak, Kuasa Autonomi berhubung Pelantikan Pegawai Kehakiman, Peruntukan Kewangan dan Pentadbiran Mahkamah di Sabah dan Sarawak, dan Pengamalan Kehakiman Borneo.

Mengenai penyerahan semula tanah yang dirizabkan untuk kegunaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, penyediaan garis panduan khas untuk urusan tersebut telah dipersetujui, dan selain itu katanya Kuasa Selia Elektrik juga telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Sementara itu Kerajaan Sarawak mendapat royalti minyak dan gas, dan pembayaran tunai petroleum melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (EPU), dan telah mengkategorikannya di bawah ‘setuju untuk tidak bersetuju’, yang menunjukkan perundingan yang agak kompleks.

Kitingan berkata walaupun demikian masih terdapat sembilan perkara yang masih dalam rundingan iaitu Obligasi Kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan, PP; Pertambahan Perjawatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Sarawak di bawah Perkara 112 PP; Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak; Pembangunan Kawasan Sempadan Sabah-Sarawak – Kalimantan; Pertambahan Bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat; Cadangan Pindaan Perkara 95B PP mengenai ubah suaian bagi Sabah dan Sarawak mengenai Pembahagian Kuasa Perundangan; Cadangan Pindaan Item 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Persekutuan), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (PP) kepada Senarai III (Bersama), Jadual Kesembilan, PP; Isu Kesihatan; dan Isu Pendidikan.

Sementara itu semakan pemberian khas Sabah dan Sarawak di bawah Artikel 112D (RM300juta), dan 40% Hak Kewangan Sabah di bawah Artikel 11C dan item 2(1) Bahagian IV Jadual Ke-19, Perlembagaan Malaysia diletakkan dalam kategori “Selesai Sabahagian”.

Perkara-perkara yang dalam kategori ‘tidak diselesaikan tetapi dengan keputusan’ ialah Pemberian Kuasa (empowerment) Mengenai Alam Sekitar; Tenaga Buruh di Sabah dan Sarawak; Kuasa Mengenai Pelantikan Persuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan); dan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu dari Pelabuhan Persekutuan ke Palabuhan Negeri.

Kitingan menjadi ahli panel untuk sesi pertama MA63, bersama-sama tokoh terkenal lain seperti bekas peguam negara Datuk Seri Fon Joo Chung, bekas presiden Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) Datuk Roger Chin, ADUN Moyog Datuk Darell Leiking, Kota Sentosa ADUN Wilfred Yap, dan moderator, Profesor Dr James Chin.

G-Admin

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started