MA63 – 11 ISU SELESAI, 29 DALAM PERBINCANGAN – Kitingan

KUCHING: Julai 27, 2024 – Kerajaan Sarawak dan Sabah kekal teguh dalam rundingan mereka dengan Kerajaan Persekutuan, dalam usaha memenuhi peruntukan yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam syarahannya yang bertajuk ‘Status of Negotiation on MA63’ yang berkaitan dengan “The Dreams and Visions of the People of Borneo States,” dalam program The Borneo States Symposium, di Muzium Budaya Borneo hari ini berkata 11 isu selesai sementara 29 masih dalam perbincangan setakat 28 Mei 2024.

Pencapaian utama termasuklah Penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Sarawak, Penyerahan Kuasa Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitian kepada Sabah, Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2).

Selain itu, pemberian Kuasa (empowerment) mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut Dalam kepada Sabah dan Sarawak, dan, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).

Sementara itu Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 juga telah dipinda untuk memasukkan wakil dari kedua-dua negeri sebagai anggota tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas kepada Sabah.

Seterusnya, Pentadbiran Kehakiman di Sabah dan Sarawak: Penurunan kuasa kepada Badan Kehakiman Sabah dan Sarawak, Bidang Kuasa Hakim Besar Mahkamah Sabah dan Sarawak, Kuasa Autonomi berhubung Pelantikan Pegawai Kehakiman, Peruntukan Kewangan dan Pentadbiran Mahkamah di Sabah dan Sarawak, dan Pengamalan Kehakiman Borneo.

Mengenai penyerahan semula tanah yang dirizabkan untuk kegunaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, penyediaan garis panduan khas untuk urusan tersebut telah dipersetujui, dan selain itu katanya Kuasa Selia Elektrik juga telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Sementara itu Kerajaan Sarawak mendapat royalti minyak dan gas, dan pembayaran tunai petroleum melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (EPU), dan telah mengkategorikannya di bawah ‘setuju untuk tidak bersetuju’, yang menunjukkan perundingan yang agak kompleks.

Kitingan berkata walaupun demikian masih terdapat sembilan perkara yang masih dalam rundingan iaitu Obligasi Kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan, PP; Pertambahan Perjawatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Sarawak di bawah Perkara 112 PP; Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak; Pembangunan Kawasan Sempadan Sabah-Sarawak – Kalimantan; Pertambahan Bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat; Cadangan Pindaan Perkara 95B PP mengenai ubah suaian bagi Sabah dan Sarawak mengenai Pembahagian Kuasa Perundangan; Cadangan Pindaan Item 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Persekutuan), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (PP) kepada Senarai III (Bersama), Jadual Kesembilan, PP; Isu Kesihatan; dan Isu Pendidikan.

Sementara itu semakan pemberian khas Sabah dan Sarawak di bawah Artikel 112D (RM300juta), dan 40% Hak Kewangan Sabah di bawah Artikel 11C dan item 2(1) Bahagian IV Jadual Ke-19, Perlembagaan Malaysia diletakkan dalam kategori “Selesai Sabahagian”.

Perkara-perkara yang dalam kategori ‘tidak diselesaikan tetapi dengan keputusan’ ialah Pemberian Kuasa (empowerment) Mengenai Alam Sekitar; Tenaga Buruh di Sabah dan Sarawak; Kuasa Mengenai Pelantikan Persuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan); dan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu dari Pelabuhan Persekutuan ke Palabuhan Negeri.

Kitingan menjadi ahli panel untuk sesi pertama MA63, bersama-sama tokoh terkenal lain seperti bekas peguam negara Datuk Seri Fon Joo Chung, bekas presiden Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) Datuk Roger Chin, ADUN Moyog Datuk Darell Leiking, Kota Sentosa ADUN Wilfred Yap, dan moderator, Profesor Dr James Chin.

G-Admin

Gantikan “Lain-lain” kepada “Native Sabah” dalam Dokumen Kerajaan – Kitingan

KOTA KINABALU | 1 Ogos 2024

Adalah mustahak istilah “Native Sabah (Orang Asal Sabah)” atau “Anak Negeri Sabah” diguna pakai dalam dokumen rasmi kerajaan untuk mewakili semua orang asli di negeri kita.

Penggunaan semasa istilah “lain-lain” bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak menghormati kerana ia gagal merangkumi kekayaan kepelbagaian dan kewujudan orang asal Sabah dalam masyarakat, sekaligus melemahkan/menjejaskan kedudukan mereka dalam naratif budaya dan sejarah Malaysia, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam satu kenyataannya hari ini.

Kitingan menjelaskan bahawa istilah “Momogun” dan “Kadazandusun,” walaupun diiktiraf secara meluas, tidak cukup inklusif.

“Kedua-dua istilah itu terutamanya menggambarkan kumpulan Dusunik, Murutik, dan Paitanik, tetapi tidak mewakili komuniti pribumi penting lain seperti Bajau, Bisaya, Kedayan, Irranun, dan lain-lain lagi. Kekurangan keterangkuman ini berisiko mengasingkan kumpulan ini, membuatkan mereka berasa diabaikan dan terpinggir,” katanya.

Jelasnya lagi penggunaan kata “lain-lain” secara berterusan adalah satu penghinaan terhadap maruah orang asli Sabah.

“Ia adalah satu istilah yang mengurangkan kekayaan dan kepelbagaian budaya kita kepada satu pemikiran yang mengkategorikan kita sebagai ‘orang lain-lain’ di tanah air kita sendiri. Ini tidak boleh diterima. Kita rakyat Sabah bukan “lain-lain”; kita adalah sebahagian daripada Malaysia yang aktif menyumbang kepada kekayaan budaya dan kemajuan sebagai sebuah negara.

“Oleh itu, saya tegas menyokong penggunaan “Native Sabah (Orang Asal Sabah)” atau “Anak Negeri Sabah.” Istilah ini bukan sahaja inklusif tetapi juga berasaskan undang-undang, ditakrifkan dalam Perkara 161A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan, dan Perkara 41(10) Perlembagaan Negeri. Ia selarass dengan Ordinan Tafsiran Sabah (Definisi Orang Asal), menyediakan asas undang-undang dan kaedah terhormat untuk mengiktiraf semua orang asal di Sabah.

Jelasnya kepenggunaan “Native Sabah” atau “Anak Negeri Sabah” bukanlah sekadar istilah; ia adalah soal penghormatan, pengiktirafan, dan perpaduan. Ia adalah satu langkah ke arah memastikan setiap komuniti orang asal di Sabah berasa dikenali, dihargai, dan disertakan. Perubahan ini adalah penting untuk memupuk Sabah yang lebih padu dan bersatu, di mana semua orang asal diiktiraf sebagai bahagian yang sama dan penting dalam identiti dan masa depan negeri.

Kitingan menyeru semua agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, dan rakyat Sabah untuk menyokong keperluan perubahan itu.

“Marilah kita bersama-sama menghormati kepelbagaian dan kekayaan sebenar orang asli negeri kita. Sudah tiba masanya untuk bergerak melangkaui klasifikasi yang lapuk dan tidak menghormati, serta menggunakan bahasa yang benar-benar mencerminkan identiti dan nilai kita. Penerimaan “Native Sabah” atau “Anak Negeri Sabah” merupakan langkah penting ke arah matlamat ini,” katanya.

G-Admin

Autonomi Sabah ke atas sumbernya dan aktiviti CCUS di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah – Kitingan

15 Julai 2024

Berdasarkan pengumuman Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini mengenai pengenalan Terengganu, Pahang, Sabah, dan Sarawak sebagai peneraju berpotensi dalam industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (Carbon capture, Utilisation and Storage – CCUS), saya ingin menyatakan persetujuan saya bahawa inisiatif ini sememangnya satu usaha yang menjanjikan untuk Sabah.

Potensi faedah ekonomi daripada projek berimpak tinggi sedemikian tidak dapat dinafikan, dan ia boleh menyumbang dengan ketara kepada pembangunan dan kesihatan kewangan negeri.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk ditekankan bahawa pengawalseliaan dan pelaksanaan aktiviti CCUS di Sabah mesti terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Sabah.

Autonomi Sabah ke atas sumbernya adalah yang terpenting, dan adalah penting bagi kita untuk mempunyai kuasa untuk mengawal selia dan mengurus aktiviti ini bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan dan keutamaan khusus negeri kita.

Sebagai Timbalan Ketua Menteri, saya telah terlibat secara aktif dalam usaha untuk mengwangkan (monetise) industri kredit karbon di Sabah.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi kita yang lebih luas untuk meningkatkan kesihatan kewangan Sabah dan mengurangkan ketergantungan kepada bantuan kewangan persekutuan.

Sabah lebih berkemampuan untuk menguruskan industri CCUS secara bebas. Kita mempunyai beberapa pilihan untuk tindakan bebas:

  1. Perundangan Negeri:

Sabah boleh menggubal undang-undangnya sendiri untuk mengawal selia aktiviti CCUS di dalam negeri. Ini memerlukan kepakaran undang-undang dan perundingan untuk memastikan perundangan yang kukuh dan komprehensif.

Kita boleh merundingkan perjanjian dengan pengendali industri dan pelabur untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia yang sejajar dengan piawaian antarabangsa.

  1. Perusahaan Milik Negeri:

Sabah boleh memanfaatkan perusahaan milik kerajaan (GLC) nya untuk menerajui projek CCUS. Kami boleh membentuk perkongsian dengan syarikat tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi kepakaran teknikal dan pelaburan.

  1. Perkongsian Antarabangsa:

Mewujudkan perkongsian dengan organisasi antarabangsa dan pelabur dapat menyediakan sokongan kewangan dan teknikal yang diperlukan. Perkongsian ini akan distrukturkan untuk mematuhi kedua-dua undang-undang tempatan dan antarabangsa.

Dengan menguasai industri CCUS di Sabah, kita boleh memastikan bahawa faedah ekonomi secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan rakyat kita.

Autonomi ini akan membolehkan kita mencipta rangka kerja kawal selia yang teguh yang disesuaikan dengan konteks alam sekitar dan ekonomi kita, menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, kredit karbon yang dijana melalui projek CCUS yang berjaya boleh menyediakan aliran hasil baharu yang ketara, seterusnya meningkatkan kebebasan dan kemampanan kewangan Sabah.

Memandangkan cabaran yang kita hadapi dalam menerima pulangan kewangan yang mencukupi daripada sumber kita, seperti peratusan terhad yang kita terima daripada hasil minyak dan gas kita, adalah mustahak untuk Sabah menguruskan sepenuhnya sumbernya sendiri.

Pendekatan ini akan memastikan keuntungan dan faedah direalisasikan secara maksimum untuk rakyat Sabah, bebas daripada kekangan pengawasan persekutuan.

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan

Timbalan Ketua Menteri Sabah

TIADA PERKEMBANGAN PELAKSANAAN MA63 TERMASUK HASIL BERSIH 40% TANDA KURANG KESUNGGUHAN KERAJAAN PERSEKUTUAN – JEFFREY

18 Julai 2024

KOTA KINABALU: Rangka masa 12 bulan yang dicadangkan, dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal, untuk memuktamadkan pelaksanaan formula peruntukan hasil bersih 40% untuk Sabah hampir di penghujungnya, dengan hanya dua minggu lagi.

“Walaupun begitu, tiada perkembangan atau pengumuman mengenai isu kritikal ini. Kekurangan tindakan ini jelas menunjukkan kekurangan kesungguhan daripada Kerajaan Persekutuan,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam kenyataanya hari ini.

Menurutnya peruntukan hasil bersih 40% adalah penting untuk memastikan Sabah menerima bahagian yang saksama daripada hasil yang dijana dalam sempadannya, bagi menyokong pembangunan negeri dan meningkatkan kebajikan rakyatnya.

Jelasnya, selama beberapa dekad, rakyat Sabah telah menunggu pelaksanaan penuh perjanjian itu, yang mana penting untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran keseluruhan negeri.

Sementara itu katanya, kegagalan berterusan untuk menghormati hak pendapatan 40% mengekalkan jurang ekonomi dan menyumbang kepada keterbelakangan dan kemiskinan di Sabah.

Kitingan menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak mendapat yang lebih baik, dan sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmennya untuk membetulkan isu yang telah lama berlarutan itu.

“Sehubungan dengan kebimbangan ini, saya menggesa kerajaan Madani supaya mengutamakan pelaksanaan 40% peruntukan hasil bersih untuk Sabah, lebih-lebih lagi kerajaan negeri telah menyediakan data yang diperlukan.

“Memastikan Sabah menerima bahagian pendapatannya yang sah bukan semata-mata isu kewangan tetapi soal keadilan dan kesaksamaan.

“Langkah konkrit mesti diambil untuk memenuhi komitmen ini dan memastikan semua aspek MA63 dilaksanakan sepenuhnya mengikut masa dan telus,” katanya.

Tegasnya lagi, rakyat Sabah sudah cukup lama menunggu dan sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan bertindak dengan segera dan ikhlas. Kejayaan pelaksanaan MA63, termasuk 40% peruntukan hasil bersih, akan memberi manfaat kepada Sabah dan mengukuhkan perpaduan dan keeratan negara kita secara keseluruhan.

G-Admin

Kenyataan Perdana Menteri 16 bilion lebih besar daripada 40% menimbulkan persoalan

KOTA KINABALU: Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri boleh membuat kesimpulan bahawa RM16 bilion adalah lebih besar darpipada 40 peratus jika kerajaan persekutuan tidak mendedahkan data kutipan hasil yang diperlukan.

Katanya kebanyakan menteri dan pemimpin kabinet negeri yang hadir di majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2024 semalam terkejut apabila angka itu diumumkan.

“Tiada seorang pun daripada mereka yang segera membetulkan Anwar kerana mereka masih cuba memikirkan dari mana angka itu diperolehi,” katanya

Beliau juga tidak mempunyai maklumat yang jelas tentang 16 bilion yang dimaksudkan.

“Apa yang saya ingat, peruntukan untuk tahun ini ialah RM6.2 bilion yang mana jauh lebih rendah daripada 40 peratus hasil bersih kerajaan negeri,

“Mungkin dia telah menambah di sana sini termasuk kewajipan Persekutuan,” katanya.

Jelasnya 60% hasil bersih Sabah sememangnya diberikan kepada Persekutuan untuk melaksanakan kewajipannya termasuk pembangunan di Sabah, sementara itu 40% adalah hak kewangan Sabah.

“40% adalah kewajipan Persekutuan untuk mengembalikannya kepada Sabah,” katanya.

“Dan sekali lagi, mungkin dia tidak mendapat nasihat, salah maklumat atau apa. Jadi saya tidak salahkan dia. Tetapi jika ini adalah pemikiran Kuala Lumpur (kerajaan pusat), itu tidak betul.

“Kita telah beri 60 peratus hasil (dari Sabah kepada kerajaan persekutuan). Menjadi kewajipan mereka untuk memulangkan 40 peratus kerana ini adalah hak kita di bawah perlembagaan persekutuan. Kita perlu menyelesaikannya, kita perlu menyelesaikannya selewat-lewatnya pada 18 Julai,” katanya kepada media selepas melancarkan program STAR dan United Sabah Nasional Organisation (USNO) “Jelajah Beyond MA63” di Dewan Sri Putatan hari ini.

Mengenai gesaan Anwar kepada pemimpin Sabah supaya berhenti membangkitkan sentimen berkaitan hak negeri, Jeffrey, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, berkata isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dibangkitkan sehingga ia diselesaikan.

“Jika kita berhenti membangkitkan isu itu, maka mereka mula lupa tentang isu itu. Jadi, kita perlu terus membangkitkan isu itu sehingga ia selesai.

Ketika ditanya sama ada Jeffrey berpendapat kerajaan persekutuan ikhlas dalam memberikan hak yang dituntut oleh rakyat Sabah, beliau berkata sejarah tidak diperjuangkan dengan betul.

“Kenapa tunggu kita tuntut daripada mereka baru mereka dengar? Jika saya tidak masuk penjara, tiada siapa yang akan bercakap mengenainya kerana mereka takut. Sekarang semua orang berada di halaman yang sama.

“Adakah mereka ikhlas atau tidak? Sejarah menjelaskan kepada kita (tentang keikhlasan). Kita mahu mereka melakukan apa yang mereka katakan, dan melaksanakan MA63 dan perlembagaan persekutuan.”

Hadir sama Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin.

G-Admin

MoU PBS dan STAR ke arah perpaduan politik masyarakat asal Sabah dan pengukuhan GRS

Memberi penghormatan kepada Tan Sri DSP Joseph Kurup yg meninggal pada rabu 17 April 2024

18 April 2024

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Sabah STAR mengorak langkah pertama ke arah menjalin perpaduan politik yang telah menyisihkan masyarakat asli sejak tiga dekad lalu.

Dua parti utama, Sabah STAR, yang diketuai oleh presidennya Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan, dan PBS, yang diketuai oleh timbalan presidennya Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di Hongkod Koisaan hari ini, untuk bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

Kadazandusun Huguan Siou (Pemimpin Tertinggi) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang menyaksikan penandatanganan perjanjian itu, memberitahu pemimpin-pemimpin parti itu bekerja keras untuk memastikan perpaduan politik demi kebaikan Sabah.

“Jangan kecewakan kami lagi,” katanya.

Tambahnya, kegagalan untuk bersatu hanya akan menyebabkan orang lain mengambil kesempatan daripada perpecahan dan boleh memecah belahkan rakyat.

Huguan Siou menasihatkan pemimpin kanan kedua-dua parti supaya bekerja keras dan belajar daripada kesilapan lalu.

“Saya minta maaf untuk mengatakan bahawa tidak ada banyak masa untuk tidur lena; sudah tiba masanya untuk bekerja keras. Susulan MOU ini adalah penting.

“Kerjasama ini tidak terhad kepada pilihan raya. Lupakan apa yang telah berlaku pada masa lalu. Marilah kita bergerak ke hadapan dan menjayakannya,” katanya

Jelasnya, kerajaan negeri PBSnya (1985-94) tumbang pada 1994, disebabkan pemimpin-pemimpin Kadazandusun, Murut dan Rungus berpecah untuk memimpin parti-parti peribumi yang lebih kecil.

Joachim, yang memegang PBS bagi pihak presiden yang sedang tenat Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata MOU itu diperlukan kerana rakyat mahukan perpaduan dalam kalangan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus.

“Ada yang mengatakan apabila PBS dan Star bekerjasama, ia akan mengancam pihak lain.

“Tetapi muktamadnya, matlamat kami adalah untuk kerajaan GRS, untuk menyatukan kuasa di Sabah dan menjadikannya Sabah Didahulukan, Sabah Maju dan Sabah Bersatu,” katanya.

Jeffrey juga berkata pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor telah memberikan sokongan 100 peratus terhadap kerjasama kedua-dua pihak.

“Jika kita mengukuhkan GRS, kita juga akan menguatkan semua orang.”

Beliau, yang juga ADUN Tambunan, berkata kerjasama itu juga bertujuan mengenal pasti calon yang boleh menang dan mengelakkan pertembungan semasa pilihan raya negeri akan datang, yang dijadual diadakan tahun depan.

Jelasnya, pasukan petugas telah dibentuk untuk membolehkan calon-calon membuat keputusan dan berunding mengenai kerusi-kerusi DUN yang berpotensi.

Menurutnya, jika kerjasama itu dilakukan lebih awal semasa pilihan raya negeri lepas, kedua-dua parti mungkin memperoleh tiga kali ganda daripada 13 kerusi sedia ada yang telah mereka menangi.

Jeffrey juga berkata majlis kepimpinan bersama akan meneliti pembuatan dasar polisi dan akan berkongsi penyebaran media.

Acara itu disaksikan oleh Huguan Siou (pemimpin utama Kadazan Dusun) Tan Sri Huguan Siou, yang juga pengasas PBS.

G-Admin

Baginda Yang di-Pertuan Agung Sultan Ibrahim utamakan rakyat Malaysia

26 Februari 2024

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen P.180 Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menyaksikan titah pertama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung Sultan Ibrahim, di majlis rasmi Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara menjaga adab dan tatatertib termasuklah menggunakan pertuturan yang sopan sepanjang persidangan Parlimen.

Baginda berkata keutamaannya ialah rakyat Malaysia justru berharap semua ahli yang berhormat menumpukan usaha untuk membela hidup rakyat, dan bukannya kepentingan parti politik atau diri sendiri.

Tegasnya, Baginda tidak akan melayan sebarang percubaan menggugat kestabilan politik negara dan menyeru semua pihak menerima kenyataan, dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk, serta menunggu sehingga pilihanraya yang akan datang.

Baginda turut menitahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara supaya mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

“Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat semua adalah penggubalnya.

“Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan ini.

“Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain,” titah baginda.

Menurut Baginda, setelah 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain.

Oleh itu Baginda menyeru kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

Selain itu baginda juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan raja, kaum dan agama.

“Saya berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan berharap ianya memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.

(Ikuti selanjutnya di https://www.youtube.com/watch?v=uVRcAKMnoA4)

Berdasarkan kalendar di laman web Parlimen, sesi ini akan berlangsung selama 19 hari bermula 27 Februari hingga 7 Mac dan diikuti oleh sesi penggulungan oleh kementerian selama empat hari bermula dari 11 Mac.

G-Admin

Legasi penulis dan pelancaran buku “A Guide to Market Fruits of Borneo”

KOTA KINABALU: 21 Februari 2024, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan menyambut kunjungan hormat Datin Anthea Lam dan rombongan sempena pelancaran rasmi buku luar biasa “A Guide to Market Fruits of Borneo” yang dikarang oleh mendiang Datuk Anthony Lamb, di Pejabat Sokid Villa hari ini.

Kitingan berkata buku “A Guide to Market Fruits of Borneo” adalah merupakan kesinambungan buku terdahulu “A Guide to Wild Fruits of Borneo” yang mana kedua-duanya merupakan bukti dedikasi sepanjang hayat Datuk Anthony terhadap flora dan pertanian Sabah.

“Beliau yang dikenali sebagai Datuk Tony tiba di Borneo Utara British pada tahun 1962, setahun sebelum pembentukan Malaysia, sebagai pegawai kerajaan British dan meneruskan kerjanya bersama kerajaan Malaysia dalam jabatan pertanian.

“Datuk Tony menghabiskan beberapa tahun di Stesen Penyelidikan Pertanian di Ulu Dusun kemudian berpindah ke Tenom dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Taman Pertanian Sabah di stesyen penyelidikan Lagud Seberang.

“Beliau juga merupakan Pengarah pertama Taman Pertanian Sabah dan memperjuangkan penubuhan muzium tanaman serta giat mempromosikan penanaman dusun buah-buahan asli dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Setelah bersara, beliau berkhidmat sebagai perunding untuk Jabatan Perhutanan, terutamanya berpangkalan di Herbarium Sepilok dan menyumbang sejumlah besar specimen tumbuhan.

“Datuk Tony merasa gembira menyaksikan Taman Pertanian Sabah berkembang menjadi tarikan pelancong yang popular dan dapat memperkenalkan pengunjung kepada flora yang menawan di Tenom.

“Kesimpulannya Datuk Anthony Lamb telah meninggalkan legasi luar biasa melalui karya bertulisnya dan sumbangannya kepada Sabah.

“Beliau dihormati dalam bidang botani, pertanian, dan pemuliharaan. Komitmennya yang tidak berbelah bahagi telah memberikan impak berkekalan kepada rakyat Sabah.

“Sungguh menggembirakan saya untuk melancarkan bukunya hari ini, sambil kita meraikan dan menghormati sumbangannya yang tidak ternilai ini,” katanya

Kitingan akhiri dengan ucapan terima kasih kepada hadirin, kepada penerbit buku, Datuk C.L. Chan dari Natural History Publications, dan penaja Encik Wewin Tjiasmanto dari Surabaya, Indonesia yang dengan sokongannya telah membolehkan penerbitan itu.

Turut hadir Serena Lamb (anak); Taman Pertanian Sabah, Edna; Pusat Penyelidikan Lagud Sebrang, Jain Linton; Jabatan Perhutanan Sabah, Elne Betrece, dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Anuar Ghani.

G-Admin

Datuk Hajiji Haji Noor

Alhamdulillah selesai menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Penyertaan Agensi Pemberi Bantuan Bagi Program Rintis Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah dan Pelantikan Pekerja Inisiatif MYSMJ Kerja.

Sebanyak 27 agensi pemberi bantuan telah menerima surat penyertaan yang terdiri daripada 10 Kementerian Negeri Sabah, 9 Agensi Kerajaan Negeri, 7 Agensi Kerajaan Persekutuan dan 1 pemain industri.

Fasa awal program MySMJ Kerja, Syarikat SBH Kibing Solar Sdn Bhd telah memberikan komitmen untuk melantik seramai 200 Ketua Ahli Isi Rumah dan Ahli-Ahli isi rumah untuk bekerja di daerah Kota Kinabalu dan Kudat. Selain itu, pihak JHEAINS dengan kerjasama MUIS juga komited memberikan pekerjaan kepada 12 golongan miskin tegar untuk ditempatkan di enam sekolah agama negeri di daerah Tuaran setakat ini.

Majlis ini mencerminkan kerjasama agensi kerajaan, khususnya agensi pemberi bantuan, dalam meningkatkan ekonomi dan mengeluarkan golongan miskin tegar.

SabahMajuJaya

Sekretariat Sabah Maju Jaya

Design a site like this with WordPress.com
Get started